Monday, March 23, 2020

Tujuh pekerja Ladang Bukit Batu di Kalabakan positif Covid-19

TAWAU - Sabah Softwoods Berhad (SSB) mengambil langkah drastik menutup operasi sebuah daripada ladangnya iaitu Ladang Bukit Batu di Kalabakan, dekat sini, berikutan tujuh pekerjanya disahkan positif Covid-19 dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hattah Jaafar ketika ditemui Bernama di pejabatnya di sini hari ini berkata, tindakan itu diambil bagi mengelakkan lebih ramai pekerja ladang itu dijangkiti wabak berkenaan.

“Pada ketika ini, seramai tujuh pekerja ladang telah disahkan positif Covid-19 dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tawau manakala lima lagi (pekerja) sedang dikuarantin di kem (ladang) berkenaan,” katanya.

Hattah turut mengesahkan terdapat dua kakitangannya yang menyertai Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur termasuk seorang imam di masjid ladang itu.

"Bagaimanapun kedua-dua individu terbabit termasuk anggota keluarga mereka telah melakukan saringan kesihatan," katanya.

Hattah berkata, pihak pengurusan SSB telah mengambil keputusan menghentikan operasi bermula 19 Mac lepas dan meminta pekerja tinggal di rumah masing-masing sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kakitangan dan pekerja ladang tidak boleh keluar dan orang luar juga tidak dibenarkan memasuki kawasan ladang. Pengawal keselamatan kami akan memastikan arahan ini dipatuhi,” katanya.


Hattah turut berterima kasih kepada kakitangan Pejabat Daerah Kalabakan serta Hospital Tawau kerana banyak membantu dalam mengendalikan kes wabak itu yang membabitkan pekerja SSB. - Bernama

Reactions:
22:37
z35W7z4v9z8w