Saturday, March 21, 2020

Kenyataan Akhbar KPK 21 Mac 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES COVID-19 YANG DISCAJ
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 27 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 114 kes.
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 21 Mac 2020 jam 12:00 tengah hari, terdapat 153 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,183 kes. Berdasarkan siasatan awal, daripada 153 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 90 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling. 60 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.
Sehingga kini, seramai 37 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 23 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Dukacita dimaklumkan sepanjang tempoh 24 jam yang lalu, terdapat dua (2) kematian berkaitan COVID-19 telah dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan. Pelaporan terbaru ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak empat (4) sehingga kini:
  • Kes kematian ketiga adalah telah dimaklumkan oleh melalui siaran di laman Facebook Ketua Pengarah Kesihatan malam tadi. Ia melibatkan kes ke-152 yang merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 58 tahun daripada kluster jemaah tabligh dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tawau. Beliau telah disahkan meninggal dunia pada 20 Mac 2020 pada jam 6:27 petang.

  • Kes keempat yang seterusnya dilaporkan melibatkan kes ke-238 yang merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 50 tahun daripada kluster jemaah tabligh. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Melaka pada 12 Mac 2020 dengan gejala Severe Acute Respiratory Infection. Beliau telah diberikan bantuan mesin pernafasan pada hari kelima kemasukan di wad isolasi dan ketika dalam penjagaan di ICU. Kesihatan beliau merosot hari demi hari sejak kemasukan dan telah disahkan meninggal dunia pada 21 Mac 2020 jam 1:30 pagi.

PENULARAN JANGKITAN COVID-19 DALAM KALANGAN ANGGOTA KESIHATAN 
Sehingga kini, 19 kakitangan KKM dan 5 petugas daripada fasiliti kesihatan swasta telah disahkan dijangkiti COVID-19. Dua (2) daripada 19 orang kakitangan KKM tersebut kini sedang dirawat di ICU. Punca jangkitan bagi kesemua 19 anggota kesihatan KKM terbabit BUKAN disebabkan oleh ketidakpatuhan mereka semasa mengendalikan kes COVID-19 di peringkat fasiliti masing-masing. Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua mereka merupakan kontak rapat generasi pertama dan kedua melibatkan kluster jemaah tabligh.
Sehingga 14 Mac 2020, bilangan anggota KKM yang telah menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 adalah seramai 337 orang. Dari jumlah tersebut, 251 adalah didapati negatif – manakala baki 86 lagi masih menunggu keputusan (pending).
KKM ingin mengingatkan kepada semua petugas kesihatan dan perubatan yang mengendalikan pesakit mengenai kepentingan untuk menggunakan penutup mulut dan hidung (face mask). Begitu juga, mereka perlu sentiasa menjaga kebersihan, khususnya dengan mencuci tangan dengan cara yang betul dan lebih kerap.
PENGESANAN PARA PESERTA YANG MENYERTAI MAJLIS PERHIMPUNAN TABLIGH  DALAM KALANGAN PELARIAN DAN PENCARI SUAKA (ASYLUM SEEKER)
KKM bekerjasama rapat dengan pihak United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pencari suaka (asylum seeker) turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan. Ini bagi mengekang sebarang penularan jangkitan yang berpotensi berlaku di dalam masyarakat.
Bagi mengesan para peserta yang menyertai majlis perhimpunan tabligh melibatkan golongan ini – pihak UNHCR turut bekerjasama dengan pihak IMARET, Muslim Relief Agency dan MERCY Malaysia; selaku rakan kongsi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka. KKM turut serta dalam menjalankan aktiviti ini melalui penglibatan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah.
Pasukan bersama berkenaan akan menyalurkan maklumat mengenai jangkitan COVID-19 kepada golongan pelarian dan pencari suaka (asylum seeker). Mereka turut memberikan penerangan mengenai kepentingan mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala jangkitan COVID-19, walaupun mereka tidak menyertai perhimpunan tersebut. Ini mengambilkira mereka tinggal dalam komuniti yang kecil dan sentiasa berinteraksi rapat.
SUMBER MAKLUMAT KKM MENGENAI JANGKITAN COVID-19
Sekiranya tidak sihat, hubungi virtual health advisory dan ikuti sesi Webinar yang akan diadakan setiap hari bermula pada jam 9.00 pagi melalui pautan berikut bagi mendapatkan khidmat rundingan:
Orang awam juga boleh menghubungi talian Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, KKM. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN


Reactions:
19:15
z35W7z4v9z8w