Sunday, August 25, 2019

Revolusi vs Evolusi

Selepas menonton filem dari tahun 1989 iaitu French Revolution (La Révolution française) iaitu sebuah filem dalam Bahasa Perancis yang kali terakhir aku tonton rasanya dalam tahun 1990 iaitu tayangan di RTM 1 atau RTM 2 edisi Dunhill Double (buat anak-anak millenial dahulu iklan rokok ditayangkan di televisyen tanpa sebarang sekatan dan ada bertopengkan percutian ketempat-tempat yang indah seperti Salem High Country dan juga gaya-gaya Hindustan semasa iklan ditayangkan seperti Kingsway), iaitu tayangan filem setiap hari Khamis dan Jumaat dan sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia ketika itu. Masa tersebut, saluran televisyen cuma dua iaitu RTM 1 dan RTM 2 dan belum ada lagi TV3 iaitu stesen televisyen swasta. Kalau bertuah pun akan dapat saluran RTB iaitu stesen televisyen negara Brunei Darussalam terutama mereka-mereka yang tinggal sekita Membakut, Bongawan, Beaufort, Sipitang dan Lawas.



Berbalik kepada revolusi, menurut kamu pelajar, definisi bagi revolusi adalah:


[ré.vo.lu.si] | ريۏولوسي


Definisi : (révolusi) 1. perubahan sesebuah ke­rajaan, sistem politik, atau sistem sosial yg dilakukan secara radikal dan kekerasan, spt rusuhan dan pemberontakan bersenjata: Angkatan 45 lahir sbg pernyataan ~ Indonesia; 2. perubahan yg menyeluruh dan mendadak, terutamanya dr segi cara berfikir, bertindak, dsb; R~ Hijau gerakan utk meningkatkan hasil tanaman di negara-negara sedang membangun melalui teknik pertanian moden, spt ke­su­buran tanah, penggunaan jentera, kawalan penyakit dsb; ~ mental revolusi fikiran, pe­rubahan pemikiran secara menyeluruh; berevolusi mengadakan revolusi; merevolusikan mengubah sistem pe­me­rin­tahan (sosial dll) dgn kekerasan (cepat dll), membawa perubahan kpd sesuatu atau dlm sesuatu bidang secara radikal (meluas, me­nyeluruh, dan cepat). (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Sementara evolusi pula membawa maksud:


[é.vo.lu.si] | ايۏولوسي

Definisi : /évolusi/ perkembangan atau pertumbuhan secara beransur-ansur dan perlahan-lahan. berevolusi berkembang secara beransur-ansur dan perlahan-lahan. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)

[é.vo.lu.si] | ايۏولوسي

Definisi : (évolusi) 1. perubahan secara beransur-ansur pd haiwan atau tumbuhan, drpd satu generasi kpd generasi lain; 2. perkembangan secara beransur-ansur, terutamanya pd bentuk yg lebih kompleks: sudah terbukti bahawa sesuatu masyarakat itu menerima perubahan, sama ada secara ~ atau revolusi; berevolusi berkembang secara beransur-ansur: bulu dikatakan berasal drpd struktur epidermis yg ~ drpd sisik reptilia. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Jadi jika dilihat disitu terdapat perbezaan ketara. Ramai yang menyangka yang dua-dua perkataan tersebut membawa maksud yang sama dan menyebabkan perbalahan juga tanpa memikirkan atau menyelidiki terlebih dahulu maksud disebalik kedua-dua perkataan tersebut.

Revolusi biasanya ialah apabila melakukan paksaan sama ada kekerasan atau pun menggunakan desakan untuk merubah sesuatu. Ianya dikaitkan dengan sesebuah negara apabila rakyat marhaen mahu mengubah kerajaan yang mereka tidak sukai dengan cara penggulingan pemerintah. Paling dekat dengan Malaysia adalah Indonesia dan juga Filipina yang mana revolusi penggulingan pemerintah telah berlaku. Revolusi tersebut telah berjaya dan menyebabkan pemerintah atau diktator menyerah kepada rakyat.

Dalam kegembiraan tersebut, memang banyak perkara negatif telah berlaku antaranya dari golongan yang mengambil kesempatan semasa kejadian itu berlaku. Contohnya semasa revolusi penggulingan Suharto di Indonesia, ada pihak yang melakukan penjarahan di kedai-kedai milik kaum berketurunan Cina di sana. Kejadian rogol juga dilaporkan berlaku. Revolusi seperti ini tidaklah begitu baik sebenarnya kerana ianya akan melumpuhkan jentera ekonomi negara seterusnya matawang akan jatuh mendadak dan juga pelabur asing akan lari.

Kalau dipandang dari sudut revolusi perindustrian pula, ianya amat baik dan buruk. Revolusi perindustrian berlaku terutama sekali di Eropah pada akhir kurun ke-18 terutama sekali di England. Pada masa revolusi tersebut berlaku, peluang pekerjaan terbuka luas dan ianya juga menarik minat ramai untuk melabur dalam suatu perusahaan dan permintaan terhadap bahan mentah juga naik mendadak. Seperti yang kita tahu, empayar Inggeris boleh dikatakan amat besar suatu ketika dahulu dan negara kita Malaysia adalah sebahagian daripada tanah jajahannya. Bahan-bahan mentah dari negara kita juga diangkut ke negara mereka seperti getah, bijih timah, dan banyak lagi semata-mata memenuhi keperluan perindustrian mereka di sana.

Itu kisah zaman dahulu, revolusi perindustrian juga berlaku di negara China dalam zaman moden ini semasa mereka mula membuka pintu mereka kepada dunia luar. Suatu ketika dahulu negara China bukanlah sebuah negara yang terbuka kerana dasar komunisme mereka (sama seperti Korea Utara sekarang) dan banyak sekali laporan yang bercanggah dengan hak asasi manusia dilaporkan dari negara China. Negara tersebut telah berjaya menjadikan negara itu suatu negara perindustrian dan menarik banyak konglomerat dari barat membuka kilang di sana kerana kos di China yang agak rendah serta bahan-bahan sebagai alat ganti didapati dengan mudah. Apatah lagi memang sudah menjadi gaya hidup bangsa Cina suka berniaga dan wujudlah tokoh seperti Jack Ma (Alibaba.com) dan juga pembuat telefon bimbit tersohor dari Oppo, Oneplus, Vivo, Huawei dan sebagainya.

Dari sudut negatif pula bagi China, pengusaha di sana kebanyakan tidak memikirkan persoalan mengenai penjagaan alam sekitar berlakulah pencemaran udara dan menyebabkan kematian pra matang sebanyak 350,000 hinggalah 400,000. Punca utama adalah penggunaan arang batu kerana arang batu adalah sumber tenaga yang murah dan mudah didapati di China. Contohnya di daerah Hebei sendiri terdapat 152 stesen janakuasa yang menggunakan arang batu. Sebanyak 75% kematian pramatang telah dilaporkan. Hasil dari pencemaran udara itu juga membuatkan kerajaan China kerugian sebanyak RM157,691,535,000.00 setahun. Ada beberapa tindakan drastik kerajaan China seperti pengharaman penggunaan bag plastik dan banyak lagi.

Entri blog aku kali ini lebih ilmiah mungkin kerana pengaruh berita terkini juga. Sekiranya kita sentuh tentang evolusi pula seperti yang disentuh dalam definisi di atas, ianya agak perlahan membentuk sama seperti perkembangan manusia. Oleh kerana itu, aku sendiri tidak percaya seorang kanak-kanak yang tidak pandai membaca akan selamanya tidak pandai. Contoh terkenal adalah Albert Einstein yang gagal matematik dan dibuang dari kolej tetapi menjadi seorang saintis unggul. Beberapa berita juga yang sama seperti itu di Malaysia yang menyatakan seorang lelaki yang dikatakan tidak berapa cerdas sewaktu sekolah tetapi menjadi pelajar cemerlang semasa kuliah di England.


Bukan sahaja perkembangan otak manusia berevolusi tetapi persekitaran kita juga termasuklah bumi kita, ianya akan bergerak perlahan-lahan secara evolusi dan oleh kerana itu berlakunya gempa bumi. Kalau ikut teori evolusi Charles Darwin dia menyatakan spesis haiwan adalah berasal dari reptilia yang berubah perlahan-lahan menjadi haiwan darat. Opps.. maaf sebab menyentuh teori evolusi Darwin. Tentu ramai juga yang tidak bersetuju. Iya. Ianya cuma teori dan masih boleh disangkal. Teori bukanlah fakta. 

Evolusi bumi sudah berlaku jutaan tahun dan mungkin lama dari itu. Dari sudut agama memang ada menyatakan tentang hal ini juga. Cuba baca ayat 12 Surah An-Nahl:

"Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengan perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memahami(nya) [16:12]."

Begitu juga dengan gunung-gunung atau bentuk muka bumi lainnya memang sudah dinyatakan dalam Al-Quran pergerakan bumi tersebut. Rujuk ayat 88 Surah An-Naml:

"Dan kamu lihat gunung-gunung itu, kamu sangka dia tetap di tempatnya, padahal ia berjalan sebagai jalannya awan.. [27:88]"

Itu adalah salah beberapa contoh evolusi bumi kita menurut agama Islam. Jadi evolusi adalah sesuatu yang baik juga walau memakan masa. Tapi jangan sahaja evolusi kepada suatu yang negatif. Evolusilah dan istiqamah kepada sesuatu yang positif. Mungkin sekiranya ada punya idea, boleh kongsikan dengan saya.

Sumber:



Reactions:
00:15
z35W7z4v9z8w